PUTRAJAYA, 27 Jan –
Kementerian Dalam Negeri kini di peringkat akhir penyediaan draf Rang Undang-Undang Anti Keganasan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat Mac ini, kata menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ketika ini, draf terakhir itu telah pun diperbincang dan dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara serta pihak pelaksana undang-undang lain terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya undang-undang yang menjadikan usaha pencegahan sebagai unsur utama itu digubal bagi memperkukuhkan usaha mencegah jenayah dari awal berbanding undang-undang sedia ada di mana tindakan hanya diambil setelah sesuatu peristiwa berlaku.
“Undang-undang yang akan diperkenalkan ini dirangka untuk melihat bagaimana pemantauan serta bagaimana memperoleh maklumat bagi pencegahan kepada sebarang unsur sama ada dari Malaysia atau dari luar serta mencegah sebarang kegiatan keganasan di dalam atau luar negara yang datangnya dari Malaysia,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa di pejabatnya di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata selepas diluluskan Parlimen kelak, Undang-Undang Anti Keganasan itu tidak akan digunakan untuk lain-lain tujuan penahanan.
Beliau berkata melalui Undang-Undang Anti Keganasan atau Prevention of Terrorism Act (POTA) itu, kuasa penahanan diberikan kepada Lembaga Pencegahan Terrorism, sama seperti mana yang dilaksanakan dalam Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Mesyuarat pertama Parlimen Ketiga Belas dijangka berlangsung bermula 9 Mac hingga 9 April ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut melahirkan rasa simpati terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung kenyataannya mengenai cadangan merotan sebagai satu kesalahan jenayah yang dijadikan polemik di media.
Menyifatkan kenyataan Rohani itu sebagai keputusan di peringkat kementerian itu sahaja, Ahmad Zahid berkata sebarang keputusan besar berhubung sesuatu rang undang-undang perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri sebelum sebarang pendirian diambil.
Sebelum ini, Rohani dilaporkan sebagai berkata merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang kini sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Mengenai kunjungan Dr Makio, Ahmad Zahid berkata antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan hampir sejam itu ialah memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara terutama dalam aspek keselamatan rentas sempadan.
Dr Makio turut mencadangkan supaya kerjasama dua hala antara Jabatan Keselamatan Awam Jepun dengan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri diperhebatkan bagi menangani sebarang isu keselamatan, kata Ahmad Zahid.
No comments:
Post a Comment