KUALA LUMPUR: Hasrat Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk menghadiri majlis perkahwinan kedua tidak kesampaian apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di Semenyih, petang Sabtu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rompin yang lebih mesra dipanggil JJ itu bertolak dari Pekan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sebelah pagi.
Bekas menteri itu sepatutnya tiba di Subang dan seterusnya meraikan anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias iaitu Nur Atiqah yang melangsungkan perkahwinannya pada Sabtu.
Bagaimanapun, helikopter yang membawa ahli Majlis Tertinggi Umno itu bersama lima lain terhempas di ladang getah pada pukul 4.50 petang sebelum tiba di Subang.
Berita mengenai nahas itu menyebabkan suasana di majlis perkahwinan Nur Atiqah yang berlangsung di Pusat Persidangan Sime Darby yang diadakan pada Sabtu malam, bertukar muram.
Bagaimanapun, keluarga pengantin itu memaklumkan, majlis itu perlu diteruskan walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa Jamaluddin serta lima yang lain.
Sementara itu, di Seri Kembangan, ahli keluarga dan kenalan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat itu memenuhi kediamannya sejak petang Sabtu.
Suasana sedih menyelubungi kediaman itu sebaik wakil The Star tiba di situ.
Turut ada di situ ialah seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai anak perempuan sulung Jamaluddin.
"Kami masih menunggu pengesahan mengenai kejadian itu," katanya sebelum masuk ke rumah itu.
Jamaluddin adalah antara enam yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di kawasan ladang getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang Sabtu.
Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman dan dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment